top of page

Kesan-kesan Stratifikasi Sosial terhadap Pendidikan

Institusi Sosial

Institusi-institusi sosial seperti keluarga, sekolah dan masyarakat memainkan peranan penting dalam membentuk dan mempengaruhi pendidikan individu. Mereka tidak hanya menyediakan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga membentuk nilai-nilai, norma-norma dan identiti sosial individu yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan masyarakat secara meluas.

Sekolah

Ketidaksamaan dalam Sumber Pendidikan

Menurut Khuzainey Ismail (2008), terdapat fenomena perbezaan yang signifikan dalam sumber daya antara sekolah-sekolah yang berada di lapisan sosial yang berbeza. Misalnya, terutama sekolah-sekolah yang terletak di kawasan yang telah membangun cenderung memiliki akses yang lebih besar terhadap sumber daya daripada sekolah-sekolah di kawasan pedalaman atau yang kurang berkemampuan ekonomi.

 

Sekolah yang berada di kawasan yang lebih berkemampuan ekonomi seringkali dapat memperoleh lebih banyak sumber daya seperti peralatan pengajaran yang lebih canggih, akses ke teknologi yang lebih maju dan peluang untuk menawarkan program-program luar kurikulum yang beragam seperti kelab sukan atau aktiviti seni. Selain itu, kehadiran buku dan sumber-sumber digital yang lengkap juga dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran murid di sekolah tersebut.

Ketidakseimbangan dalam sumber daya ini memberikan kesan besar terhadap peluang pendidikan yang diperoleh oleh murid-murid. Menurut Jaafar (2018), Murid yang bersekolah di lingkungan yang kurang berkemampuan ekonomi mungkin menghadapi cabaran yang lebih besar dalam mencapai kejayaan akademik kerana keterbatasan sumber daya yang tersedia bagi mereka. Fenomena ini secara langsung menyumbang kepada ketidaksetaraan dalam sistem pendidikan dan menimbulkan cabaran besar kepada usaha mencapai akses pendidikan yang adil dan saksama bagi semua murid. 

Kewujudan Kelas Unggul

Stratifikasi dalam konteks pendidikan merujuk kepada proses atau sistem yakni pelajar atau individu dikelompokkan atau dipisahkan berdasarkan beberapa faktor seperti kebolehan akademik, sosioekonomi atau faktor lain-lain. Kesan stratifikasi sekolah utama adalah kewujudan kelas unggul adalah fenomena yang telah diamati dalam banyak sistem pendidikan di seluruh dunia termasuk negara kita.

Pengelompokan pelajar ke dalam kelas unggul berdasarkan kebolehan akademik adalah adalah amalan biasa dalam banyak sistem pendidikan. Matlamat utama adalah untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang sesuai dengan keperluan pelajar yang mempunyai kebolehan akademik yang lebih tinggi atau kebolehan akademik yang mungkin memerlukan fasa pembelajaran yang lebih pantas atau lebih mendalam. Di samping itu, pengelompokan ini juga dapat memberikan perangsang tambahan kepada pelajar yang lebih cemerlang untuk mencapai prestasi lebih tinggi.

Kesan stratifikasi sekolah yang melibatkan dihimpit ke dalam kelas unggul hanya memperkukuhkan jurang akademik dalam kalangan pelajar. Dalam kelas ini, hanya mereka yang dianggap mempunyai kebolehan akademik melebihi purata dibenarkan manakala yang lain terpinggir. Matlamat itu kedengaran menggalakkan, tetapi sebenarnya hanya menggalakkan persaingan yang tidak sihat untuk mencapai markah tertinggi. Pemetaan ini yang mengutamakan nilai ilmu semata-mata sebenarnya hanya mengukuhkan struktur sosial sedia ada yakni peluang terbaik hanya tersedia kepada mereka yang cemerlang sebelum ini.
 

image.png

Keluarga

Keluarga adalah salah satu kelompok atau kumpulan manusia yang hidup bersama sebagai satu kesatuan atau unit masyarakat terkecil dan biasanya selalu ada hubungan darah, ikatan perkawinan atau ikatan lainnya. Keluarga juga merupakan sekumpulan orang tinggal bersama dalam satu rumah yang dipimpin oleh seorang kepala keluarga dan makan dalam satu periuk (Tenri Awaru, 2021).

 

Keluarga memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan pendidikan kepada anak-anak. Ini merupakan institusi sosial pertama anak-anak memperoleh nilai-nilai, kemahiran dan pengetahuan yang membentuk dasar bagi perkembangan mereka. Namun, terdapat perbezaan dalam sokongan pendidikan yang diberikan oleh keluarga terutamanya berkaitan dengan kelas sosial.

 

Keluarga yang memiliki kelas sosial yang tinggi cenderung mempunyai sumber daya yang lebih baik untuk menyokong pendidikan anak-anak mereka (Rakhmawati, 2015). Mereka mungkin memiliki akses yang lebih mudah ke pendidikan berkualiti termasuk sekolah-sekolah swasta atau program-program pendidikan tambahan. Tambahan pula, mereka mungkin mampu menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih komprehensif di rumah seperti buku-buku dan peranti elektronik. Sokongan kewangan yang mencukupi juga dapat memberi akses kepada guru persendirian atau program tambahan kurikulum yang memperkayakan pengalaman pembelajaran anak-anak.

 

Dengan adanya sumber daya ini, anak-anak dari keluarga dengan kelas sosial yang tinggi cenderung mempunyai kelebihan dalam mencapai pencapaian akademik yang tinggi (Khuzainey, 2008). Mereka dapat mengambil manfaat daripada akses yang lebih baik ke pendidikan berkualiti, kemudahan pembelajaran yang lengkap dan sokongan kewangan yang memadai untuk mengejar minat dan aspirasi mereka dalam pendidikan.

Masyarakat

Masyarakat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pendidikan. Nilai-nilai yang dianut oleh masyarakat dapat membentuk sikap dan persepsi terhadap pendidikan (Zafi, 2018). Masyarakat yang menghargai pendidikan akan memberikan dorongan kepada kanak-kanak untuk mengejar pendidikan mereka dengan tekun. Sebaliknya, masyarakat yang tidak mengutamakan pendidikan mungkin akan menghalang anak-anak dari mengejar pelajaran.

Stratifikasi sosial juga memiliki kesan yang signifikan terhadap pendidikan dari segi kemasyarakatan. Tanggapan positif pendidikan ialah pendidikan akan menggalakkan peningkatan sosial terutamanya dalam kalangan remaja. Namun, tanggapan negatif terhadap pendidikan ialah stratifikasi sosial boleh menjejaskan peluang pendidikan dan peluang pekerjaan (Noraziah & Netty Yushani, 2009).

Golongan miskin yang terpinggir daripada sistem pendidikan sering menghadapi cabaran untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan gagal meningkatkan status sosial mereka. Sementara itu, kelas sosial dan pekerjaan sering menjadi penentu utama mobiliti sosial dan individu yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi cenderung mempunyai peluang pekerjaan dan status sosial yang lebih tinggi (Ketut, 1975).
 

Image by mostafa meraji
bottom of page