Faktor-faktor Kepelbagaian Sosiobudaya
Sosiobudaya merangkumi aspek-aspek kebudayaan dalam masyarakat, termasuk nilai-nilai, norma-norma dan institusi-institusi sosial. Budaya memainkan peranan penting dalam membentuk identiti individu dan masyarakat serta mempengaruhi tingkah laku dan interaksi sosial.
Bangsa
Perkataan bangsa di Malaysia boleh digambarkan dengan istilah etnik seperti Melayu, Cina dan India. Terdapat beberapa jenis sekolah diwujudkan termasuk sekolah jenis Cina dan Tamil melalui faktor bangsa dari segi kepelbagaian sosiobudaya.
Dari segi bangsa, kebanyakan murid di sekolah vernakular Cina adalah dari keturunan Cina. Namun begitu, terdapat juga murid dari bangsa lain seperti Melayu dan India. Walaupun demikian, bahasa komunikasi utama di sekolah ini adalah bahasa Cina. Ini bermakna bahawa murid-murid umumnya menggunakan bahasa Cina dalam interaksi harian di sekolah, walaupun terdapat sedikit penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Tamil.
Oleh hal yang demikian, Sekolah Wawasan didirikan untuk mempromosikan perpaduan di kalangan murid sekolah. Apabila anak-anak dari etnik Melayu, Cina, India dan etnik lain dapat berinteraksi sejak awal dalam proses pendidikan, satu generasi Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya dapat dihasilkan.

Bahasa
Terdapat pelbagai jenis bahasa iaitu bahasa daerah, bahasa ibunda dan bahasa dialek. Walaupun bahasa daerah dan bahasa dialek mempunyai nilai penting dalam warisan budaya masyarakat (Hassan & Abd Aziz, 2022), namun dalam konteks pendidikan, penggunaan bahasa baku perlu ditekankan iaitu bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi kebangsaan dan bahasa pengantar di institusi pendidikan.
Penggunaan bahasa baku juga membantu mengukuhkan integrasi sosial dalam kalangan murid kerana semua murid memahami dan menggunakan bahasa yang sama (Basir, 2012). Dengan itu, perasaan perpaduan dan identiti nasional dalam kalangan murid dapat dipupuk serta persefahaman yang lebih baik antara etnik yang berbeza dapat digalakkan.
Menurut Peng (2016), kesan yang paling ketara akibat wujudnya sosiobudaya yang pelbagai dalam kalangan murid di dalam bilik darjah ialah penggunaan bahasa. Murid-murid yang terdiri daripada bangsa yang sama lebih cenderung untuk menggunakan bahasa ibunda bangsa masing-masing apabila berkomunikasi sesama mereka. Keadaan ini akan memberi impak terhadap pembinaan integrasi sosial kerana murid-murid yang berbangsa sama akan lebih cenderung untuk berkawan dengan sesama bangsa mereka.

Struktur Sosial
Terdapat dua peringkat struktur sosial yang lazim di kebanyakan sekolah iaitu kelas pertengahan dan kelas bawahan. Perbezaan dalam kelas sosial ini berkait rapat dengan taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi keluarga. Perbezaan ini turut mempengaruhi budaya, amalan dan interaksi sosial di kalangan murid-murid di sekolah.
Situasi ini sering melibatkan perasaan rendah diri di kalangan murid yang berasal dari keluarga kelas bawahan. Mereka mungkin merasa malu atau kurang yakin untuk bergaul dengan rakan-rakan mereka yang datang dari keluarga yang lebih berkemampuan ekonomi. Perasaan ini boleh timbul disebabkan oleh kesedaran terhadap kekurangan yang dialami oleh keluarga mereka (Khuzainey, 2008). Bukan itu sahaja, keperluan untuk membantu ibu bapa dalam mencari rezeki juga sering menjadi tanggungjawab bagi murid-murid dari keluarga kelas bawahan. Hal ini boleh menyebabkan mereka kurang bersemangat dalam pelajaran dan berisiko menghadapi masalah keciciran dalam kehadiran di sekolah (Noriati, et.al, 2017).

Agama
Dari aspek kepercayaan, kebanyakan murid-murid Cina menganuti agama Kristian atau agama Buddha sementara murid Melayu menganut agama Islam dan murid India menganut agama Hindu. Setiap etnik mempraktikkan kepercayaan agama mereka masing-masing dan ini mencerminkan kepelbagaian keagamaan dalam kalangan murid-murid sekolah negara kita.
Dari segi adat resam pula, terdapat pelbagai jenis adat resam yang diamalkan di kalangan murid-murid sekolah vernakular Cina kerana murid-muridnya terdiri daripada pelbagai etnik seperti Cina, Melayu dan India. Sebagai contoh, semua murid disarankan untuk memakai baju berwarna merah semasa Tahun Baru Cina kerana merah dipercayai membawa tuah dalam kehidupan. Ini menunjukkan bagaimana unsur-unsur budaya dan tradisi diterapkan dalam kehidupan harian di sekolah ini untuk meraikan kepelbagaian etnik dan budaya yang wujud di kalangan murid-murid.
