
Implikasi Faktor Kepelbagaian Budaya terhadap Komuniti Sekolah dan Pendidikan

Bahasa
Seperti yang sedia maklum, negara kita terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai pelbagai dialek, bahasa dan cara hidup. Penggunaan bahasa amat penting dalam komunikasi dua hala antara guru dengan murid. Untuk itu, guru memainkan peranan penting dalam mengamalkan penggunaan bahasa Melayu semasa PdP. Menurut Amir (2013), bahasa Melayu dapat membentuk persefahaman dan persaudaraan senegara sehingga terbentuknya model bangsa Malaysia. Ini kerana bahasa Melayu sebagai bahasa standard dapat mengelakkan salah faham berlaku antara murid yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dalam proses pengajaran, guru perlu sabar dan mengulangi percakapan sekiranya murid tidak dapat memahami bahasa Melayu. Lama-kelamaan murid dapat memahami input pengajaran yang disampaikan dan mempraktikkan bahasa Melayu dalam komunikasi sehingga mewujudkan kelas mesra sosiobudaya.
Seterusnya, pemantapan bahasa Melayu dalam kelas membentuk perpaduan di mana semua murid yang berbilang kaum boleh menuturkan bahasa tersebut iaitu sifat kesejagatan yang ada pada bahasa tersebut Tuntasnya, strategi-strategi ini membolehkan murid-murid menyukai negara mereka kerana mereka dapat membesar dengan menghayati kepelbagaian budaya (Muslim, et.al, 2011).

Layanan Guru
Kepelbagaian sosiobudaya memberi implikasi kepada guru yakni seseorang guru harus memberi layanan yang adil terhadap setiap murid tanpa mengira warna kulit memberi kesedaran kepada murid bahawa setiap rakyat merupakan bangsa Malaysia, tiada isu diskriminasi akan berlaku kerana setiap rakyat diberi layanan sama rata. Lantaran itu, rusuhan kaum tidak dibangkitkan sebaliknya perpaduan antara murid berbilang kaum dipupuk.
Selain itu, guru juga perlu peka terhadap situasi kelas dengan membina rancangan yang tidak menyentuh isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan pergaduhan antara kaum. Ini memberi contoh kepada murid-murid agar tidak menyentuh kepada kepercayaan dan agama yang diamalkan rakan-rakan. Dengan itu, dapatlah wujud masyarakat yang tidak ekstrem dalam mengamalkan agama masing-masing.
Dari aspek fizikal dalam pengurusan bilik darjah, guru hendak mengambil kira susunan kerusi dan meja murid dengan menyusun murid berbilang kaum dalam sekumpulan (Najimah, 2007). Menerusi susunan dalam Rajah 1, murid berbilang kaum berpeluang bercampur gaul dan belajar bersama-sama tanpa rasa kurang selesa. Murid-murid akan bekerjasama antara satu sama lain ketika melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Susunan ini menggalakkan murid berkomunikasi dan berkolaboratif sesama rakan secara aktif (Yahaya, et.al, 2020). Oleh itu, murid belajar untuk menerima dan menghayati perbezaan antara mereka untuk menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberikan.

Jantina
Guru menghadapi cabaran dari aspek jantina. Kajian Uzi Dollah (2013) menunjukkan murid lelaki lebih cenderung untuk fokus pada subjek Matematik dan Sains berbanding dengan subjek bahasa yang didominasi oleh murid perempuan. Hal ini demikian kerana lelaki lebih berminat dalam aktiviti secara praktikal (Wang, et.al, 2017). Manakala murid perempuan memperoleh prestasi akademik yang lebih baik disebabkan stail pembelajaran murid perempuan yang lebih positif dan memberi perhatian yang lebih serius kepada kerja-kerja sekolah (Jelas, et.al, 2005).
Untuk menghayut cabaran kelainan keupayaan, minat dan prestasi murid mengikut jantina, amalan pedagogi harus perlu terus berkembang seiring dengan perubahan dalam masyarakat dan keperluan murid. Perubahan proses PdP harus dilakukan dengan berkesan dan dengan mengambil kira kepekaan terhadap isu jantina di dalam bilik darjah. Guru juga perlu sedar bahawa setiap murid sama ada lelaki atau perempuan mempunyai potensi yang sama untuk belajar dan memberi respons dalam bilik darjah. Guru harus membina persekitaran di mana murid merasa selesa untuk menyuarakan pendapat mereka tanpa takut dicemuh atau diabaikan.

Pencapaian Akademik
Perbezaan sosiobudaya dalam kalangan murid-murid akan mempengaruhi cara mereka berfikir dan bertindak, lantaran mendorong ke arah perbezaan pencapaian akademik (Noriati, et.al, 2017). Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam merancang aktiviti PdP yang sesuai bagi memastikan semua murid menerima peluang pembelajaran yang sama. Menurut Ragbir Kaur Joginer Singh (2013), pembelajaran koperatif merupakan satu pendekatan yang dapat menggalakkan murid untuk menerima perbezaan sesama mereka kerana perasan saling menghormati terhadap budaya murid lain dapat wujud semasa mereka berinteraksi. Guru juga perlu sentiasa peka serta bersedia untuk menambahkan pengetahuan tentang kepelbagaian budaya dalam masyarakat bagi mengelakkan salah faham antara guru dengan murid dan murid dengan murid supaya membentuk perpaduan di sekolah (Hie, et.al, 2018).
Selain itu, seorang guru perlu membina hubungan yang erat antara murid-murid dan guru itu sendiri. Guru perlu bersikap profesional dengan mempunyai sifat keterbukaan dalam melaksanakan aktiviti PdP agar murid dapat berinteraksi dengan terbuka. Ini akan secara tidak langsung akan meningkatkan minat dalam diri murid-murid terhadap mata pelajaran yang diajarkan oleh guru tersebut seterusnya meningkatkan kesungguhan murid untuk belajar.
Rajah 1
Contoh Susunan kerusi dan meja Kelas
Abad ke-21